Memperdalam pemahaman perkembangan sejarah Islam NBD



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam, Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam






TUNGKU LINK, Jumaat, 13 Februari. - Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan sokongan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan satu kuliah umum bertajuk 'An Exploration of Islam's Journey to Brunei Darussalam' yang berlangsung di Ruang Bicara Minda, Perpustakaan UBD.


Kuliah umum disampaikan oleh ahli sejarah terkemuka NBD, Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Md. Yunos, dan dihadiri oleh kira-kira 60 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, anggota kor diplomatik, kakitangan universiti serta para pelajar.


Acara ini bertujuan untuk memperdalamkan pemahaman mengenai perkembangan sejarah Islam di NBD dan rantau sekitarnya, termasuk evolusinya sebagai agama rasmi negara serta pengaruh berterusannya terhadap institusi nasional, budaya dan sistem pemerintahan sepanjang abad.


Perbincangan tersebut turut menyoroti peranan bersejarah NBD dalam penyebaran Islam di peringkat serantau serta kepentingannya dalam sejarah Asia Tenggara.


Dalam ucapan pembukaannya, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Tamer Mansy menekankan peranan sejagat agama dalam membentuk sesebuah masyarakat dan menyoroti NBD sebagai sebuah negara yang agama terasuh kukuh dalam identiti nasionalnya.


Tuan Yang Terutama Tamer Mansy menyatakan bahawa falsafah kebangsaan Melayu Islam Beraja (MIB) mencerminkan bagaimana tradisi kerohanian yang berpanjangan terus membimbing tadbir urus moden, budaya dan masyarakat. TYT Tamer Mansy turut menegaskan bahawa memahami perjalanan sesuatu agama adalah penting dalam memupuk rasa saling menghormati serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.


Close